Ketika waktu hampir menepati jam sembilan malam saya masih lagi menunggu makanan yang saya pesan untuk ‘tapau’ siap. Seperti ramalan saya, akan kurang pelanggan di kedai makan berhampiran kawasan perumahan saya mala mini. Tidak lain tidak bukan rakyat benar-benar ingin tahu apa butir-butir akan diluahkan oleh DSAI, Ketua Umum PKR dan Menteri Penerangan, wakil kerajaan.

Sepanjang satu jam, pada saya banyak penjelasan kerajaan mengapa subsidi petrol dan diesel tidak dapat dinaikkan supaya harga pasaran bahan api tersebut melambung tinggi sehingga kita benar-benar merasai kesannya. Kadar inflasi kini melonjak hampir 7%. Walau bagaimanapun, menurut Dato’ Shabery Cheek (DSC) jika tidak diambil pendekatan ini, kadar inflasi mungkin akan lebih tinggi dan ini akan lebih membebankan rakyat.

Selain itu, hasil masyhul daripada PETRONAS yang berbilion-bilion itu disalurkan untuk pembangunan rakyat dari segi pendidikan percuma, perkhidmatan kesihatan dan subsidi-subsidi yang lain. Betul juga fikir saya, kerana walaupun harga minyak telah meningkat sepanjang hidup saya, bayaran perkhidmatan hospital dan klinik kerajaan masih RM 1. Gaji doktor dan jururawat pun sudah naik. Harga ubat juga naik tetapi caj tersebut tetap sama. Jika diambil kira daripada hasil cukai negara pun tidak cukup. Betul juga.

Namun, apa yang diutarakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) juga ada baiknya. Buat apa dirugikan wang rakyat bagi menanggung IPP. Bukankah lebih baik semua itu ditanggung oleh TNB. Jika diberi subsidi sekali pun ia adalah syarikat berkaitan kerajaan. Akhirnya ia menguntungkan rakyat dan kerajaan juga. Tetapi pemberian subsidi kepada IPP menguntungkan towkey-towkey IPP sahaja. Rakyat hanya dapat serpihan. Jika elektrik juga dapat dikurangkan taarifnya,sudah tentu harga barang (mungkin) lebih murah sedikit. Yalah, kos elektrik sebenarnya ditanggung oleh kita pengguna melalui harga barang yang dijual. Milik siapa semua IPP ini? Patutlah MCA dan GERAKAN tak pernah nak sibuk-sibuk suruh hapuskan IPP.

Tetapi saya tertarik dengan hujah DSC yang mengatakan bahawa IPP ini hasil usaha DSAI ketika menjadi TPM dahulu. Kini beliau pula menyanggahnya. Pelik. Gimik politik? (yalah Melayu kan mudah lupa). Kerajaan seharusnya mencari jalan supaya IPP ini dihapuskan juga, pada pendapat saya. Mereka punya kuasa kini, gunalah sebaiknya.

Saya sedikit terkilan kerana satu soalan yang sangat penting daripada kerajaan tidak dijawab oleh DSAI. Malah beliau berdolak-dalik. DSC bertanya sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memerintah kelak, lantas simpanan minyak kita sudah habis dan menjadi pengimport minyak, apa tindakan PR bagi mengatasinya. DSAI tidak menjawab soalan ini. Beliau kembali menjelaskan cara bagaimana kerajaan dapat mengurangkan harga petrol hari ini daripada RM2.70 kepada RM2.20. Itu sekiranya pada hari ini. Jika harga petroleum melambung menjadi USD200 setong bagaimana? Jimat 50 sen mana cukup. Walhal janji PR sebelum pilihanraya adalah kurang 50 sen daripada harga petrol pada ketika itu daripada RM1.92 kepada RM1.42. Kenapa timbul pula isu nak kurang RM2.70 kepada RM2.20? Takkanlah nanti bila petrol BN harga RM4.00, PR nak kurang jadi RM3.50 saja? Sama sajalah kalau macam tu siapa yang perintah sekali pun. Petrol tetap naik! Kita nak harga dia kurang dan inflasi turut kurang.

Pada awal sesi debat telah diingatkan oleh pengerusi majlis supaya perdebatan hanya berkisar kepada soal turun harga minyak. Apa yang berlaku, kadang-kadang mereka berdua ini saling mengkritik personaliti satu sama lain. Kalau politik kita matang, bukankah lebih baik mereka berbincang bagaimana nak pasti harga minyak kita terus di bawah paras yang rakyat semua mampu dan inflasi turut turun ke paras 1% sahaja. Mungkin ini kata orang mustahil dan tidak pandai ekonomi. Tetapi janganlah kita hanya pandai mengaplikasikan teori ciptaan orang sahaja. Bukankah lebih baik kita cipta teori baru demi keuntungan rakyat Malaysia. Setidak-tidaknya teori kawalan mata wang kita dulu (idea Tun Mahathir) kini menjadi ikutan banyak negara walaupun dulu dikutuk dunia terutama negara-negara yang dikuasai Yahudi ekonominya.

Sedihnya kita sesame Islam bertelagah, orang lain juga dapat untungnya. Bila UMNO dan PAS dan berbincang ni? Jadi ka? Bagus juga tu.