You are currently browsing the monthly archive for October 2009.

Nampaknya apa yang bermain di fikiran saya selama ini bukanlah satu perkara remeh. Baru-baru ini image beberapa rakan saya yang menetap di luar negara dan pernah melawat Malaysia untuk tempoh yang agak panjang memaklumkan kepada saya bahawa orang Malaysia sangat pelik. Mengapa? Mereka ini pensyarah. Kadang-kala mereka datang ke sini untuk menghadiri seminar atau bengkel di universiti-universiti tempatan kita. Sepanjang kehadiran mereka di Malaysia, mereka lihat ramai anak-anak di universiti kurang bergaul antara kaum. Apabila budak Melayu duduk makan, pasti akan berkumpul hanya di kalangan Melayu sahaja. Apabila budak Cina masuk ke kafetaria, pastinya dia akan mencari kumpulan Cina untuk duduk bersama walaupun terdapat kerusi kosong di kalangan remaja Melayu yang juga merupakan teman sekelas syarahan atau setutorial dengannya. Perkara ini SANGAT biasa berlaku. Tetapi mengapa? (Tidak semua anak-anak kita macam ni, tetapi rata-rata begitu)

Saya lihat perkara ini bermula dari bangku sekolah lagi. Kebanyakan anak Melayu ke sekolah kebangsaan, anak Cina ke sekolah jenis Cina dan anak India ke sekolah jenis Tamil. Sejak kecil lagi anak-anak kita telah berada dalam acuan yang berbeza. Tidak hairanlah mereka terus berada dalam bentuk yang sama hinggalah mereka mati kelak. Namun bagi anak-anak yang bersekolah rendah di sekolah missionary atau jenis kebangsaan Inggeris, nampaknya mereka lebih senang bergaul merentasi perbezaan kaum kerana di sekolah tersebut pelbagai kaum belajar di situ. Begitu juga di sesetengah sekolah kebangsaan yang terdapat pelbagai kaum belajar di situ.

Mengapa masih ada yang menghantar anak ke sekolah vernakular? Ada yang mengatakan kualiti sekolah seperti ini contohnya SRJK(C) adalah lebih baik. Ada juga yang mengatakan di sekolah kebangsaan tidak diajar bahasa ibunda orang Cina dan India. Mereka khuatir anak-anak mereka tidak akan mewarisi adat dan budaya mereka apabila besar kelak jika ke sekolah kebangsaan. Pada saya perkara ini mudah untuk diatasi.

Pertama : Hapuskan sistem sekolah vernakular. Kerajaan mesti berani dalam hal ini. Menteri-menteri perlu bersatu hati jika benar-benar ikhlas untuk melihat 1Malaysia untuk menjadi kenyataan.

Kedua : Di sekolah kebangsaan perlu diadakan kelas pilihan selepas sesi persekolahan (waktu petang) untuk mengajar bahasa arab, bahasa mandarin, bahasa tamil, bahasa iban atau pelbagai lagi supaya anak-anak kita dapat belajar pelbagai bahasa. Ini adalah kekuatan kita. Tak perlu kita import guru-guru dari luar negara untuk tujuan ini. Ramai guru potensi yang ada.

Ketiga : Kementerian Pelajaran perlu lihat apa yang baik di sekolah-sekolah vernakular untuk diadunkan dalam sekolah kebangsaan. Mana-mana yang kurang baik di sekolah-sekolah tersebut diambil iktibar untuk tidak dilaksanakan di sekolah kebangsaan. Guru-guru yang cemerlang di sekolah vernakular diserapkan ke dalam sekolah kebangsaan.

Itu pada pandangan saya.

Apa yang penting? KERJASAMA

Segala-galanya bermula dari pucuk. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sudah-sudahlah dengan berita seorang murid di sebuah sekolah sahaja setiap kali sesi persekolahan di buka pada awal tahun. Membazir duita saja. Guru Besar seorang, guru kelas seorang, kerani seorang, tukang kebun seorang hanya untuk seorang murid. Berita begini menunjukkan negara kita seolah-olah tak pandai menguruskan kewangan.

Jadi, masa untuk berubah telah tiba. 1Malaysia hanya akan tinggal gagasan jika pelaksanaannya tempang. Jika sahabat bersetuju dengan 1Sekolah, 1Bahasa, 1Bangsa, 1Malaysia, turunkan tandatangan pada petisyen di laman web berikut untuk tunjukkan sokongan anda. Negara ini milik kita bersama.

PETISYEN : SATU SEKOLAH UNTUK SEMUA

Cerita ni dah lama. Saya dok tertanya-tanya juga sebelum ni betui ka Datuk Seri Anwar ada buat janji nak tolong orang Kampung Buah Pala di Pulau Pinang. Kawasan perumahan tu patut kena tolak untuk di jadikan kawasan komersial selepas tanah kampung tu dibeli oleh Koperasi Pegawai Kanan Kerajaan Pulau Pinang. Tapi penduduk kampung tak mahu berpindah kerana itu merupakan kampung halaman mereka.

Untuk selesaikan perkara ni, Datuk Seri Anwar dirujuk untuk diminta pertolongan. Ikut video di bawah, Datuk Seri janji akan selesaikan kes ni 2 minggu lepas pilihan raya. Itupun kalau pakatan rakyat menang di Pulau Pinang.

Tapi janji orang politik ni memang susah nak percaya. Bila tiba masanya, kawasan ni pun nak ditolak. Penduduk bengang la sebab, lain dijanji lain pula yang depa dapat. Dah la nak jumpa Ketua Menteri pun payah. Macam-macam alasan yang Lim Guan Eng bagi. Dengar kata, Guan Eng pun marah kat Anwar sebab janji bukan-bukan. Pastu tolak kat dia pula untuk selesaikan.

Kesudahannya, kampung tu la ni dah wa tammat…

 

sedikit cerita mengenai Kampung Buah Pala yang saya petik dari satu blog ni

 

Perkampungan terakhir orang Tamil di Pulau Pinang itu dikelilingi oleh bangunan dan taman perumahan yang pada satu ketika dahulu menjadi sebahagian daripada ladang atau estet milik keluarga Brown.

Kampung Buah Pala diberi nama sempena ladang pokok pala yang diusahakan oleh David Brown, seorang ahli perniagaan yang kaya yang berhijrah ke Pulau Pinang semasa pentadbiran EIC (East India Company) yang diketuai oleh Francis Light.

Brown membuka ladang yang dikenali sebagai Gelugor Estate atau Periya Thottam kepada orang Tamil, iaitu ladang rempah ratus yang menghasilkan buah pala, cengkih dan lada hitam.

Selain Gelugor Estate, David Brown turut memiliki dua ladang yang tidak kurang luasnya itu Sungai Nibong dan Sungai Dua Estate (Sinna Thottam).

Turut memiliki ladang dan hartanah yang besar pada ketika itu ialah Francis Light sendiri dan James Scott.

Orang Inggeris menguasai hampir 75 peratus tanah di Pulau Pinang yang bermula dari puasat bandar hinggalah ke Sungai Nibong dan Ayer Itam.

Untuk mendapatkan tenaga kerja di ladang dan juga untuk kerja-kerja binaan jalan dan sebagainya, pihak Inggeris membawa masuk pekerja dari India terutamanya banduan. Bermula pada tahun 1790 rakyat India, kebanyaknnya negeri Tamil, berhijrah ke Pulau Pinang.

David Brown turut tidak ketinggalan membawa masuk pekerja dari India untuk bekerja di ladang rempah ratusnya. Tidak seperti tenaga kerja yang pulang ke India selepas mengumpul wang secukupnya, pekerja Brown memilih untuk menetap dan berkeluarga di ladang tempat mereka bekerja.

Apabila David Brown meninggal dunia pada tahun 1825 (iaitu 184 tahun lalu), pentadbiran ladangnya diambil alih oleh anak dan seterusnya oleh waris beliau yang lain. Apabila tanaman getah diperkenalkan di Tanah Melayu, keluarga Brown turut membuka ladang getah sehingga ke Sungai Ara.

Keluarga Brown adalah antara keluarga yang paling kaya di Pulau Pinang dan selain memiliki ladang getah dan rempah ratus, mereka turut memiliki tiga buah rumah di puncak Bukit Bendera.

Sebuah rumah yang dikenali sebagai David Brown’s Cottage dibina di Strawberry Hill, yang dinamakan sempena ladang strawberry milik Brown, dan sebuah lagi rumah dikenali sebagai Brown House dan sebuah lagi bernama Mon Craig.

Jika anda ke Pulau Pinang anda akan diberitahu bahawa antara tempat yang menawarkan makanan ala-penjaja yang terbaik ialah di Padang Brown atau Padang Brom bagi sesetengah warga Pulau Pinang.

Padang Brown sudah tentu pada asalnya hartanah milik keluarga Brown yang dihadiahkan kepada rakyat Pulau Pinang sebagai sebuah padang permainan terutama bolasepak. Di Padang Brown atau kemudian dikenali sebagai Padang Datuk Keramat terdapat sebuah tugu peringatan untuk David Brown iaitu Brown Memorial.

Selain Padang Brown, terdapat sebuah taman perumahan yang menempatkan rumah kos rendah hinggalah ke kos sederhana tinggi yang dikenali sebagai Brown Garden. Ia adalah sebahagian daripada tanah Gelugor Estate yang dijadikan kawasan perumahan awam antara yang terawal di Pulau Pinang.

Brown Garden kini bertukar nama kepada Taman Tun Sardon, iaitu semasa orang politik begitu ghairah menukar nama jalan, kampung dan tempat daripada nama Inggeris kepada nama tempatan dan Brown Garden adalah antaranya.

kudaranggi

Harap maaf kepada kawan-kawan yang menunggu-nunggu bahagian terakhir Laporan MAGERAN : Tragedi 13 Mei. Saya telah upload bahagian terakhir dan membetulkan sebarang masalah berhubung hyperlink dengan fail-fail setiap bahagian laporan tersebut.

Renung-renungkanlah apa yang telah berlaku. Harap-harapnya ia takkan berlaku lagi pada masa hadapan. Sebarkan maklumat ini kepada rakan-rakan lain yang berminat.

Click sini untuk ke laman yang mengandungi laporan tersebut.

https://rayaputeh.wordpress.com/laporan-tragedi-13-mei/

Selepas seminggu Perhimpunan Agung Khas UMNO diadakan untuk meminda Perlembagaan UMNO, pelbagai ulasan dan kupasan daripada macam-macam orang mengenainya. Ada cerdik pandai, ada profesional dan ada juga daripada pemimpin pembangkang <rujuk Utusan Malaysia>. Tapi apapun ia kembali kepada ahli-ahli UMNO di akar umbi.

Panjang lebar Dato’ Sri Najib berucap. Berkajang-kajang teks ucapan Tan Sri Muhyiddin bercakap. Semuanya berkisarkan tentang perubahan insaniah yang perlu dibawa oleh ahli-ahli UMNO untuk memertabatkan semula UMNO. Kasi UMNO jadi releven balik. Ikut rentak dan perubahan zaman.

Sekarang, perlembagaan dah dipinda. Dasar perjuangan UMNO dah digariskan. Puteri pun dah janji nak cari 1.2juta ahli dan pengundi baru dalam tempoh 2 tahun ikut KPI yang ditetapkan oleh Timbalan Presiden. Jangan tinggal kata-kata ja. Buat Kerja!

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalan-Nya, dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti satu ‘bun-ya-nun-marsus’ yakni bangunan
yang tersusun kukuh.”

surah as-Saff ayat 4

Sudah sampai masanya rakyat terutama golongan muda nak tengok setakat mana janji-janji politik UMNO. Orang dah meluat dengan cakap-cakap kosong. Orang bukan sukapun dengan parti-parti pembangkang ni, cakap je lebih tapi bila tang implementation hampas jugak. Tengok la di Selangor, sebelum menang pilihan raya kata nak tutup kilang arak tapi takat mana ja sekarang ni. Tau payah la nih! Ada pak toghut macam Aji Ronnie tu memang la susah.

Masyarakat dah matang. Orang akan tengok kepada komitmen. Kalau betul boleh buat. Orang akan pilih. Di Pulau Pinang, saya dengar angin-angin kata kerajaan negeri tukar status tanah wakaf di pulau kepada tanah komersial. Tapi dia tak ‘kejam’. Guan Eng bagi balik tanah wakaf dengan menrezab balik tanah di Seberang Perai sebagai ganti. Tapi boleh ka macam tu? Habis tanah wakaf di pulau hak siapa? Bila dah jadi tanah komersial, Rahim mampu beli ka? Wallahu alam. Saya dengar macam tu. Orang di Penang, kena korek la. Confirm betul ka cerita ni. Jangan dah jadi macam Kg. Buah Pala baru nak mengamuk. Buat apa?!

Nanti saya keluarkan video janji Datuk Seri Anwar mengenai status Kg. Buah Pala. Tungguuuuuu…

Dah melalut pulak, back to UMNO. Ahli-ahli UMNO jangan sombong sekarang. Tunjuk yang kamu adalah pejuang agama, bangsa dan negara. Saya tahu ramai yang macam tu di bawah sana cuma segelintir sahaja yang berperangai yang ntah hape-hape. Tolonglah satukan hati. Bulatkan tekad. Asas perjuangan UMNO sangat murni. Alif Mim Nun – UMNO : iman. Tapi kalau…

alif tendang mim, nun tendang wau, jawabnya sarkis

Back to basic lah jawabnya. Kadang-kadang kita terlupa dan tersilap simpang. Hari ini, peluang sudah ada untuk berpatah balik untuk ikut simpang yang betul. Gunalah peluang ini. Insya Allah…

MENYUSUR kembali perjuangan bangsa Melayu yang mahu membebaskan negara daripada terus dibelenggu penjajah khususnya selepas Perang Dunia Kedua berakhir dan Jepun menyerah kalah. Jeneral Seishiro Itagaki yang mengetuai Angkatan Tentera Jepun menyerah kalah kepada Panglima Angkatan Tentera Bersekutu, Lord Mountbatten di Singapura.

Namun demikian, Parti Komunis Malaya telah mengambil kesempatan menguasai Tanah Melayu melalui cabang tenteranya Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA) yang juga dikenali sebagai Bintang Tiga. Keganasan dan hukuman sesuka hati dikenakan oleh Bintang Tiga terhadap sesiapa yang dianggap bekerjasama dengan Jepun. Pelbagai cukai dikenakan ke atas penduduk kampung dengan nilai yang tinggi.

Berikut adalah rentetan hingga membawa kepada Kongres Melayu dan tertubuhnya UMNO:

September 1945
Pentadbiran Tentera British ditubuhkan berperanan sebagai pentadbiran peralihan.

11 Oktober 1945
Wakil Khas British, Sir Harold Mac Michael tiba di Port Swettenham, Selangor untuk bertemu dengan Raja-raja Melayu bagi merundingkan dasar baru Kerajaan Inggeris berkenaan penubuhan ‘Malayan Union’ yang dirancang sewaktu Malaya dijajah Jepun.

20 Oktober – 21 Disember 1945
Sir Harold Mac Michael memulakan tugasnya dengan menggesa, mengugut dan mengaburi mata Raja-raja Melayu supaya menandatangani surat perjanjian yang mempersetujui penubuhan ‘Malayan Union’. Surat persetujuan perjanjian tersebut telah ditandatangani dengan dimulai oleh:

1. Sultan Johor – DYAM Tengku Mahkota Ismail pada 20 Oktober 1945
2. Sultan Pahang – DYMM Sultan Abu Bakar pada 2 November 1945
3. Yang Di Pertua Negeri Sembilan – DYMM Tengku Abdul Rahman pada 14 November 1945
4. Sultan Perak – DYMM Sultan Abdul Aziz pada 22 November 1945
5. Sultan Selangor – DYMM Sultan Hishamuddin pada 24 November 1945
6. Sultan Kedah – DYMM Sultan Badlishah pada 2 Disember 1945
7. Raja Perlis – DYMM Tuanku Syed Putra pada 12 Disember 1945
8. Sultan Kelantan – DYMM Sultan Ibrahim pada 17 Disember 1945
9. Sultan Terengganu – DYMM Sultan Ismail pada 21 Disember 1945

6 Januari 1946
Sir Harold Mac Michael pulang ke London dengan membawa surat perjanjian yg telah ditandatangani oleh Raja-raja Melayu melalui tipu muslihat tanpa memberi peluang kepada baginda berunding dengan penasihat masing-masing.

22 Januari 1946
Kertas Putih dibentangkan di Parlimen London oleh Setiausaha Tanah Jajahan Takluk British. Dasar-dasar dan rancangan ‘Malayan Union’ ialah:

1. Kuasa penuh diberi kepada King Inggeris supaya boleh membuat undang-undang yang sama di dalam semua Negeri-negeri Melayu.
2. Pentadbiran terletak di tangan Gabenor Inggeris.
3. Majlis Penasihat Pusat Agama yang terdiri dari Raja-raja Melayu dipengerusikan oleh Gabenor yang bukan beragama Islam.
4. Taraf kerakyatan boleh diperoleh tanpa perbezaan bangsa dan agama secara:
• Lahir di negeri Malayan Union dan Singapura.
• Telah tinggal selama 10-15 tahun di Malayan Union.
• Rakyat British juga boleh menjadi rakyat Malayan Union tanpa kehilangan taraf kerakyatan British.
5. Mereka yang bukan rakyat Malayan Union tidak boleh menjawat jawatan di dalam pejabat Kerajaan atau menjadi ahli Majlis Mesyuarat Pusat atau Majlis Mesyuarat Negeri.
6. Peraturan akan dibuat bagi memindahkan dengan sedikit kecualian, harta-harta kepunyaan Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka) kepada Malayan Union.

23 Januari 1946
Di atas sokongan dan cadangan Syed Alwi Al-Hadi dan Hj. Anuar Malik dari Kesatuan Melayu Johor, Dato’ Onn telah menghantar sepucuk surat kepada Utusan Melayu. Dalam suratnya, beliau mencadangkan satu kongres diadakan untuk membincangkan soal ‘Malayan Union’. Satu pertubuhan yang dinamakan United Malays Organisation (UMO) patut ditubuhkan sebagai pendesak. Surat Dato’ Onn itu merupakan rayuan pertama daripada seorang tokoh negara Melayu yang inginkan masalah ‘Malayan Union’ dibincangkan secara bersama sedangkan persatuan Melayu yang lain lebih membangkitkan penentangan mereka secara berasingan. Surat Dato’ Onn telah mengatasi tembok sifat kenegerian orang Melayu pada masa itu.

Antara bantahan yang dibuat oleh orang Melayu ialah di Kota Bharu, Kelantan pada 1 Februari 1946; di Kedah pada 4 Februari 1946; di Batu Pahat pada 10 Februari 1946 dan di Tapah, Perak.

Januari – Februari 1946
Di Kuala Lumpur, Tuan Zainal Abidin bin Ahmad atau lebih dikenali dengan Za’ba, Yang Di Pertua Persatuan Melayu Selangor telah mula berhubung dengan Datuk Panglima Bukit Gantang di Perak, Dato’ Onn bin Jaafar yang merupakan Yang Di Pertua Persatuan Melayu Semenanjung Johor dan lain-lain pemimpin supaya mengadakan kongres yang menjemput wakil orang-orang Melayu di seluruh Semenanjung. Tujuannya untuk menubuhkan sebuah pertubuhan Melayu yang besar bagi menentang rancangan ‘Malayan Union’.

4 Februari 1946
Satu perarakan menentang penubuhan Malayan Union telah diadakan di Padang Court anjuran Kesatuan Pemuda Melayu Kedah. Perarakan ini anjuran Kesatuan Pemuda Melayu Kedah dengan dihadiri oleh kira-kira 5,000 orang yang terdiri daripada Kesatuan Melayu Kedah, SEBERKAS, Kesatuan Ulama Kedah dan Persatuan Pemuda Melayu Kedah sebagai tanda penentangan orang-orang Melayu Kedah. Pada mulanya perhimpunan ini diadakan bagi tujuan menyambut kedatangan Mr. M.C. Howard, Ketua Hal Ehwal Awam Malaya tetapi dibatalkan dan hanya diwakili oleh seorang pegawai tentera British iaitu Leftenan Kolonel J.W. Sumerbill.
Dalam perhimpunan ini Tuan Haji Hussain Che Dol, Yang Dipertua Kesatuan Melayu Kedah dan En. Senu Abd Rahman, Setiausaha Agung SEBERKAS telah menghuraikan rancangan Malayan Union dan kandungan Kertas Putih.

15 Februari 1946
Raja-raja Melayu mula menyatakan bantahan masing-masing berikutan sentimen rakyat yang mula memuncak. Antaranya titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim.

Beta telah dikerasi dan dikejutkan dan beta tidak menurunkan tandatangan dengan penuh kemahuan akan tetapi setelah memikirkan semula perkara itu beta berpendapat bahawa beta telah menandatangani perjanjian itu dengan tidak terlebih dahulu menyiasat dengan sehalus-halusnya seperti yang sepatutnya diperbuat dan malangnya beta tidak sedar akan kesan-kesan yang mengenai lebih jauh. Oleh yang demikian, beta suka menyatakan iaitu di dalam hal yang demikian beta tidak sanggup lagi bertanggungjawab kepada persetujuan yang beta berikan mula-mula dulu.

23 dan 24 Februari 1946
Atas tuntutan rakyat Melayu Kelantan, maka Sultan Kelantan, Sultan Ibrahim, memberi penjelasan berhubung dengan tuntutan Mac Michael yang baginda tandatangani dan disiarkan di akhbar Utusan Melayu. Baginda telah diperdaya bahawa perjanjian itu merupakan tambahan kepada surat persetiaan tahun 1910 yang memberi kuasa kepada Baginda King membuat undang-undang bagi Kerajaan Kelantan. Kononnya Baginda King memikirkan dan mengambil berat keadaan negeri-negeri Melayu pada masa depan.

28 Februari 1946
Mesyuarat diadakan oleh Tun Za’ba dan dibantu oleh Dato’ Hamzah Abdullah, Menteri Besar Selangor bagi membincangkan penganjuran Kongres Pertama.

1 – 4 Mac 1946
Kongres Melayu yang pertama diwakili 107 orang wakil dari 41 buah pertubuhan dan 56 orang pemerhati bertempat di bangunan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Pertubuhan-pertubuhan Kongres Melayu Pertama Kuala Lumpur
JOHOR
1. Pergerakan Melayu Semenanjung Johor, Johor Bahru
2. Persatuan Melayu Segamat
3. Persatuan Melayu Keluang
4. Kesatuan Melayu Johor, Muar

KEDAH
5. Kesatuan Melayu Kedah
6. SABERKAS

KELANTAN
7. Persekutuan Persetiaan Melayu
8. Persatuan Melayu Kelantan

MELAKA
9. Pergerakan Melayu Semenanjung Melaka
10. Kesatuan Melayu Melaka

NEGERI SEMBILAN
11. Persatuan Melayu Negeri Sembilan

PAHANG
12. Persatuan Melayu Pahang
13. Wataniah
14. Persekutuan Guru-Guru Melayu Pahang

PULAU PINANG
15. Persekutuan Melayu Seberang Prai
16. Kesatuan Melayu Pulau Pinang
17. Persatuan Melayu Pulau Pinang

PERAK
18. Perikatan Melayu Perak
19. Persatuan Melayu Perak
20. Persetiaan Muslim Telok Anson
21. Persatuan Melayu Chenderiang
22. Persatuan Muhibbah Malim Nawar

PERLIS
23. Persatuan Melayu Perlis

SELANGOR
24. Pergerakan Kebangsaan Melayu Selangor
25. Ikatan Setia Kampung Baharu
26. Penang Peranakan Club
27. Dewan Perniagaan Melayu Malaya
28. Persatuan Penghulu-Penghulu Selangor
29. Persekutuan Guru-Guru Melayu Selangor
30. Darul-Ihsan Club Jeram
31. Persatuan Kaum Ibu Selangor
32. Persekutuan Bawean Selangor
33. Persatuan Melayu Ulu Selangor
34. Persatuan Melayu Daerah Sabak Bernam
35. Kaum Darat (Orang Asli) Selangor
36. Persatuan Melayu Jawatan Sekolah Rendah

SINGAPURA
37. Kesatuan Melayu Singapura

TERENGGANU

38. Persatuan Melayu Terengganu

TANAH MELAYU
39. Parti Kebangsaan Melayu Malaya
40. Pembantu Indonesia Merdeka Sa-Malaya
41. (Tidak diketahui namanya)

Perasmian Kongres tersebut dilaksanakan oleh Sultan Selangor, Sultan Hishammuddin Alam Shah.

Tuan Za’ba yang merupakan seorang pakar bahasa dan nasionalisme Melayu telah mencadangkan supaya nama pertubuhan yang dicadangkan oleh Dato’ Onn “United Malays Organisation” atau UNO ditambah dengan perkataan “National” menjadikan ia dalam Bahasa Melayu sebagai “Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu” atau “United Malays National Organisation” atau ringkasnya UMNO. Cadangan tersebut telah diterima sebulat suara.

Dato’ Onn telah dipilih sebagai pengerusi persidangan Kongres dengan sebulat suara. Di dalam ucapannya, beliau menyeru agar perwakilan bersatu.

Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha. Tunjukkanlah bahawa kita sebenar-benarnya keturunan datuk nenek kita yang menghadap bahaya dengan bersatu hati. Dengan bersatu hati itu sahaja akan dapat kita mengadap masa yang akan datang dengan harapan akan jaya cita-cita kita itu.

Ucapan tersebut telah membakar semangat ahli-ahli Kongres dan bangsa Melayu seluruhnya. Telah muncul seorang pemimpin agung Melayu yang dinanti-nantikan bagi membela umat Melayu sewaktu kedudukan mereka diancam.

4 Mac 1946
Pada hari terakhir, satu perhimpunan orang-orang Melayu telah diadakan di Dewan Bandaran, Kuala Lumpur dan keputusan kongres diisytiharkan.

Kawat keputusan Kongres Melayu Pertama

1. Bahawa surat-surat perjanjian yang telah ditandatangani oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan-sultan Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang bermakna memberi kuasa penuh kepada Duli Yang Maha Mulia lagi Maha Besar King Great British dan akan menjalankan kuasa yang penuh itu. Kerajaan Baginda King mencadangkan hendak menjalankan kuasa yang penuh itu di dalam lingkungan Negeri Melayu yang tersebut dan menghapuskan kuasa-kuasa Sultan-sultan itu di dalam negeri mereka masing-masing daripada suatu keadaan Raja-raja yang merdeka sebagai yang telah terdiri tidak diperbuat mengikut undang-undang tubuh adat lembaga kebiasaan Melayu yang sah dan batal dan tidak wajib ditaat oleh Yang Maha Mulia Sultan-sultan dan rakyat-rakyat mereka.
2. Bahawa yang sebagaimana surat-surat perjanjian telah diperbuat dengan tiada diketahui dan berlawanan dengan kemahuan-kemahuan rakyat-rakyat Duli Yang Maha Mulia Sultan-sultan dan sebagaimana cadangan kerajaan Baginda King hendak menjalankan kuasa penuh di dalam negeri-negeri Melayu tiada diredhai oleh rakyat-rakyat Duli Yang Maha Mulia Sultan-sultan. Bahawa Persidangan Agung ini menyatakan bahawa perbuatan itu berlawanan dengan kaedah-kaedah Demokrasi dan iaitu tidak boleh diterima sama sekali.
3. Bahawa cadangan Kerajaan Baginda King hendak menjalankan kuasa penuh di dalam negeri-negeri Melayu yang tersebut dan menidakkan kuasa Duli Yang Maha Mulia Sultan-sultan bermakna dirampas sama sekali negeri-negeri Melayu di dalam Semenanjung Tanah Melayu iaitu berlawanan dengan semangat dan kehendak Atlantic Charter.
4. Bahawa cadangan Kerajaan Baginda King seperti yang dicadangkan di dalam Kertas Putih yang dikeluarkan di dalam bulan Januari 1946 yang antara beberapa perkara mencadangkan:
• Menjadikan suatu tubuh dinamakan Malayan Union bagi menggantikan Negeri-negeri Melayu yang beraja, mereka terkeluar daripada tubuh itu Pulau Pinang dan Melaka pula.
• Menjadikan suatu hak kerakyatan dengan hak-hak yang sama dengan tidak tilek pandang kepada Bangsa atau Agama akan menghapuskan sama sekali daripada hidupnya:
i Negeri Islam Melayu yang merdeka iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang pendiriannya seperti itu telah diakui oleh Kerajaan Baginda khasnya dan oleh sedunia amnya.
ii Bangsa Melayu mempunyai Negeri dan Raja.
iii Segala Treaty-treaty yang ada di antara Kerajaan Baginda King dan Duli Yang Maha Mulia Sultan-sultan dan dengan perbuatan yang memecahkan kehormatan treaty-treaty yang baginya bangsa-bangsa yang bersekutu telah berjuang di dalam sesuatu peperangan yang terlebih dahsyat di dalam tawarikh dan iaitu mengambil daripada orang Melayu hak-hak mereka itu yang semulajadi itu dinyatakan menjadi suatu timpaan yang amat dahsyat kepada mereka-mereka pula yang selama-lamanya taat setia kepada Baginda King.
5. Bahawa Persidangan ini menjemput Kerajaan Baginda King kepada suatu peperiksaan yang penuh di atas keadaan yang ada pada masa ini di dalam Semenanjung Tanah Melayu dan keadaan-keadaan itu jika diketahui oleh Kerajaan Baginda King tentu akan menangguhkan cadangan yang tersebut itu.
6. Bahawa disebabkan oleh perkara-perkara yang tersebut itu Persidangan Agung ini meminta kepada Kerajaan Baginda King menarik kembali cadangan itu dengan serta-merta dan kembalikan pendirian negeri-negeri Melayu dengan tidak ada sebarang perubahan daripada keadaan yang telah lalu.

Mac 1946
Surat-surat bertahan Raja-raja Melayu telah dibaca oleh L.D. Gammans, Ahli Parlimen British di dalam perbahasan berkenaan dengan Malayan Union di Dewan Orang Ramai (House of Commons) British. Beliau telah memberi amaran kepada Dewan bahawa perkara ini boleh menjadi pertumpahan darah dan huru-hara jika tidak diatasi. Sir John pula mengingatkan bahawa Sultan-sultan ini telah diugut.

30 – 31 Mac 1946
Dato’ Onn memanggil satu kongres tergempar di pejabat akhbar Majlis bagi membincangkan tindakbalas terhadap kerajaan British. Hasil dari perbincangan kongres tersebut, persidangan mencapai keputusan berikut:

1. Meminta semua orang Melayu di seluruh Tanah Melayu berkabung dengan melilit kain putih di songkok pada 1 hingga 7 April 1946 tanda dukacita atas kedatangan ‘Malayan Union’.
2. Memohon DYMM Sultan-sultan Melayu supaya tidak hadir dan tidak campur di dalam istiadat menyambut Gabenor ‘Malayan Union’.
3. Ahli-ahli kongres yang telah ditawarkan menjadi ahli Majlis Penasihat Gabenor akan menarik diri dari lantikan itu.
4. Meminta orang-orang Melayu supaya tidak menerima perlantikan mana-mana Majlis, Lembaga atau Jawatankuasa. Sekiranya tidak mematuhi arahan ini mereka akan dipulau.
5. Persidangan juga telah mengambil keputusan mengutus kawat kepada Kapten Gammas dan Lt. Col. Rees Williams meminta mereka datang ke Tanah Melayu untuk berunding dengan orang-orang Melayu berkenaan Malayan Union.

1 April 1946
Dato’ Onn bersama-sama Dato’ Haji Wahab bin Toh Muda dan Dato’ Nik Ahmad Kamil menemui Raja-raja Melayu di Station Hotel, Kuala Lumpur bagi merayu kepada mereka agar tidak menghadiri majlis perlantikan Gabenor ‘Malayan Union’. Beribu-ribu orang Melayu memakai songkok berlilit kain putih tanda berkabung berkumpul berasak-asak di hadapan Station Hotel melaungkan “Daulat Tuanku” dan “Hidup Melayu”. Dato’ Onn menegaskan kepada Raja-raja Melayu bahawa kerjasama mereka adalah perlu untuk mengelakkan rakyat Melayu dari menderhaka. Dengan bantuan Sultan Ibrahim dan desakan orang-orang Melayu yang berada di situ, Dato’ Onn berjaya memujuk Raja-raja Melayu agar memulau istiadat pertabalan itu.

Raja-raja Melayu amat terharu dengan keadaan ini, lalu berangkat turun menemui rakyat yang berkumpul di luar. Dengan airmata yang berlinang, salah seorang daripada mereka telah bertitah, “sabarlah, sabarlah. Kita di pihak yang benar, Tuhan akan menyertai pihak yang benar”.

Di dalam suasana hiba itu, terdengar suara salah seorang, “Kami telah membawa Raja-raja turun dari atas ke bawah. Kami tidak sampai hati hendak menurunkan baginda terus-menerus. Kami hanya hendak menyatakan bahawa kami sekalian adalah berdiri menyokong baginda-baginda”.
Raja-raja Melayu akhirnya akur dengan permintaan rakyat dan memulaukan upacara tersebut. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa Raja-raja dan orang Melayu sememangnya tidak dapat dipisahkan.

1 April 1946
Kerajaan ‘Malayan Union’ dirasmikan dan Sir Edward Gent mengangkat sumpah sebagai Gabenor. Tiada seorang pun Raja, orang besar atau orang kenamaan Melayu hadir dalam majlis tersebut.

15 April 1946
Sultan Perak, Selangor, Pahang, Kedah, Negeri Sembilan dan Perlis mengadakan pertemuan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dan mereka bersetuju dengan sebulat suara membantah penubuhan ‘Malayan Union’. Bantahan ini disampaikan kepada Kerajaan British di England.

11 dan 12 Mei 1946
Kongres Melayu ketiga diadakan di Istana Besar, Johor Bharu dan dirasmikan oleh YAM Tengku Mahkota Pemangku Sultan Johor (Sultan Ismail). Dalam kongres ini beliau telah bertitah:

…Dengan hati yang sangat ria, saya melihat kedatangan tuan-tuan yang begini ramai dari semua negeri di Semenanjung Tanah Melayu ini kerana hendak sama-sama muafakat menjalankan pekerjaan kongres dan hari ini nampaklah kepada saya dan kepada tuan-tuan sekalian juga yang kita bangsa Melayu yang sedia dan hendak bersatu dengan tujuan menguatkan pendirian bangsa kita dan memelihara tanah air kita. Kedatangan tuan-tuan kemari ada memberi sukacita yang amat besar kepada saya dan saya menerima tuan-tuan sekalian dengan hati yang tulus ikhlas. Saya harap kerja-kerja yang hendak tuan jalankan di sini dalam dua hari akan jaya dengan cukup sempurna juga saya ucapkan selamat kepada tuan-tuan semua dan saya serukan persidangan mesyuarat ini dibuka dan dimulakan….

Kongres ini dihadiri seramai 58 orang wakil dan 30 orang pemerhati. Di sinilah piagam UMNO diluluskan dan lahirlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR). Dato’ Onn bin Jaafar dipilih sebagai Yang Di Pertua sebulat suara. Dalam ucapan rasmi selepas penubuhannya, beliau menyatakan:

Janganlah kiranya hendak mengejar pangkat sahaja dengan membelakangkan bangsanya kerana dengan malangnya saya bercakap iaitu Tanah Melayu ini ada orang yang rupa Melayu, berkulit Melayu dan segalanya Melayu tetapi dukacita disebutkan ‘hatinya bukan Melayu’.

Alangkah malang ada orang Melayu yang tidak mengikut kerana kononnya segan kepada orang asing tetapi tidak segan kepada bangsanya sendiri. Saya tahu ada berbunyi pihak yang tidak menyebelah pada Melayu hendak memberitahu kepada dunia bahawa bantahan-bantahan daripada kita itu bukan bantahan rakyat tetapi raja.

Kita nafikan itu kepada dunia yang menuntut hak bukan raja, melainkan rakyat. Ada dua tempat orang Melayu hendak bertenggek, satu kepada jiran, satu kepada musuh Melayu. Jika belum ada perasaan kebangsaan dan tanah air dan semata-mata kerana dirinya sendiri diminta supaya orang itu berfikir panjang dan bertaubatlah. Masuk ke dalam persatuan-persatuan dan bersatulah.

Saya berharap dalam masa yang sedikit lagi jadi satu tujuan, kerana itu mustahak menunjukkan persatuan yang padu bukan sahaja persatuan antara raja dengan rakyat tetapi rakyat dengan raja. Selamat belayar Kongres dan selamat datang Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.

Dalam mesyuarat tersebut keputusan-keputusan berikut telah diambil iaitu:
1. Diputuskan bahawa Yang Di Pertua Pertama UMNO berhak memilih seorang Setiausaha Agung dengan gaji tidak lebih RM300 sebulan dan diberi kebenaran membelanjakan RM5,000 setahun untuk pentadbiran UMNO.
2. Meluluskan penubuhan lima pejabat iaitu Setiausaha Agung, Perkara Wang, Agama dan Pelajaran, Perkara Iktisad, Perkara Dakyah serta Perkara Membantah Malayan Union dengan Ibu Pejabat UMNO ditempatkan di Johor Bahru.
3. Semua wakil persatuan bersetuju supaya UMNO menghantar wakil ke England bersama dengan Sultan dan Raja Melayu. Mereka yang dipilih ialah:

i Dato’ Onn
ii Datuk Panglima Bukit Gantang Perak (Tuan Haji Abdul Wahab)
iii Tunku Abdul Rahman

Seorang lagi wakil iaitu Zainal Abidin Abas dipilih sebagai pengganti, jika salah seorang daripada mereka tidak dapat mengikuti rombongan terbabit.

4. Bersetuju supaya peruntukan RM100,000 daripada wang UMNO diberikan sebagai perbelanjaan wakil yang akan dihantar ke London.
5. Bersetuju untuk membentuk satu jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Perhubungan UMNO dan Raja-raja sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan Sultan dan Raja-raja Melayu.
6. Cogan kata Kebangsaan “Hidup Melayu” diilhamkan dan mula digunakan dalam surat-surat rasmi dan perjumpaan orang-orang Melayu.

Dalam kongres ini juga Piagam pertama yang menghuraikan tujuan penubuhan UMNO dan struktur pentadbirannya dibentuk iaitu:

1. Hendaklah ditubuhkan sebuah Pertubuhan Pusat yang dinamakan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (yang disebut kemudiannya Pertubuhan) dengan ibu pejabatnya di Johor Bahru dan persekutuan-persekutuan kamu masing-masing akan menjadi ahli-ahli pengasasnya.

2. i) Kuatkuasa yang diletakkan di sini dalam Pertubuhan itu adalah seperti berikut :
a) Bagi meninggikan dengan segala cara yang menurut undang-undang tujuan-tujuan yang sama dari ahli-ahlinya dan bagi menjalankan sebarang perbuatan di dalam apa juga perkara yang akan diamanahkan kepadanya oleh sebuah atau lebih ahli.
b) Bagi mewakili ahli-ahlinya atau sebuah dari ahli-ahlinya di dalam memajukan tujuan-tujuan yang seumpama itu dan lain-lain perkara atau perkara-perkara.
c) Bagi menyelesaikan sebarang perselisihan yang berbangkit di antara ahli-ahlinya

ii) Tiadalah sebarang yang terkandung di dalam fasal ini akan memberi kuasa kepada Pertubuhan menjalankan sesuatu perbuatan di dalam sebarang perkara yang menjadi hak sendiri kepada sebarang ahli yang tertentu atau ahli-ahli melainkan apabila disyaratkan dengan tertentu di sini.

3. Sebarang Persekutuan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu yang mempunyai ahli-ahlinya lebih seribu orang bilangannya dan yang mempunyai tujuan-tujuannya termasuk memajukan dan membaiki keadaan orang-orang Melayu dari atau di dalam Semenanjung Tanah Melayu bolehlah dengan membuat permintaan, diterima menjadi ahli Pertubuhan.

4. Pertubuhan akan terdiri daripada :
a) Majlis Mesyuarat Agung
b) Jawatankuasa Kerja
c) Setiausaha Agung

5. Majlis Mesyuarat Agung hendaklah mengandungi tidak lebih daripada dua orang wakil daripada sebuah ahli dan hendaklah bersidang sekurang-kurangnya sekali di dalam setahun,persidangan yang pertama seumpama itu hendaklah diadakan pada atau sebelum 12 Mei 1946.

6. Majlis Mesyuarat Agung hendaklah mempunyai kuasa menubuhkan sebuah jabatan atau jabatan-jabatan yang difikirkan mustahak bagi mencapai tujuan-tujuan dan cita-cita Pertubuhan.

7. Yang Di Pertua Pertubuhan hendaklah dipilih dan diangkat dalam satu persidangan Majlis Mesyuarat Agung dan hendaklah memegang jawatannya sehingga diangkat Yang Dipertua baru.

8. Yang Dipertua hendaklah mempunyai kuasa melantik dan memecat pegawai-pegawai bagi jawatankuasa-jawatankuasa kecil yang mengelolakan berbagai-bagai jabatan Pertubuhan atau sebarang daripadanya dengan syarat bahawa Yang Dipertua hendaklah bertanggungjawab kepada Majlis Mesyuarat Agung atas segala perbuatan atau kecuaian seseorang di dalam menjalankan kuasa dan kewajipan-kewajipan. Sebarang yang dilakukan oleh Yang Dipertua didalam menjalankan kuasa itu hendaklah dengan syarat dipersetujukan oleh Majlis Mesyuarat Agung dengan segera.

9. Yang Dipertua, Setiausaha dan pegawai-pegawai dan pengerusi bagi sebarang Jawatankuasa Kecil sebagai yang tersebut dahulu adalah menjadi ahli jawatankuasa kerja.

10. Tiap-tiap sebuah ahli Pertubuhan terkena memberi bayaran kepada wang kumpulan dibawah kawalan Pertubuhan sebanyak yang akan ditetapkan oleh Majlis Mesyuarat Agung.

11. Setiausaha Agung hendaklah pekelilingkan peraturan-peraturan yang mengenai sebarang perkara atau perkara-perkara yang tiada disebutkan dengan khas disini.

12. Tidak ada sesuatu yang terkandung di sini boleh dipinda melainkan dengan sesuatu ketetapan yang diluluskan di dalam sesuatu persidangan Majlis Mesyuarat Agung.

Seramai 29 Ketua wakil yang hadir menandatangani pengasas UMNO dalam piagam tersebut:

1. Dato’ Onn Jaafar – Pergerakan Melayu Semenanjung Johor
2. Kapten Ahmad Mohammad Don – Persekutuan Melayu Kluang
3. Mohammad Rejab Darus – Kesatuan Melayu Kedah
4. Senu Abdul Rahman – Saberkas
5. Abdul Wahab Tok Muda Abdul Aziz – Persatuan Melayu Kelantan
6. Ahmad Jamal – Pergerakan Melayu Semenanjung Melaka
7. Tunku Hussain Tunku Yahya – Persekutuan Melayu Negeri Sembilan
8. Mohammad Nor Sulaiman – Persatuan Melayu Pahang
9. Ahmad Malek – Persatuan Melayu Seberang Prai
10. Ibrahim Mahmood – Kesatuan Melayu Pulau Pinang
11. Abdul Wahab Tok Muda Abdul Aziz – Perikatan Melayu Perak
12. Mohammad Tahir Setia Raja – Persatuan Melayu Perak
13. Baharum Mohammad Mohidin – Persetiaan Muslim Teluk Anson
14. Raja Lop Shaharuddin Raja Mohammad – Persatuan Melayu Cendering
15. Ahmad Abdullah – Persekutuan Muhibbah Malim Nawar
16. Salleh Osman – Persatuan Melayu Perlis
17. Mohammad Eunos Abdul Hamid – Persatuan Melayu Selangor
18. Hamzah Abdullah – Pergerakan Kebangsaan Melayu Selangor
19. Zainal Abidin Osman – Ikatan Setia Kampung Baru
20. Baginda Buyong Baginda Kassim – Persatuan Pinang Peranakan dalam negeri Selangor
21. Ali Arshad – Dewan Perniagaan Melayu Malaya negeri Selangor
22. Raja Abdul Rahman Raja Yusof – Persatuan Penghulu-penghulu Selangor
23. Omar Abu Hassan – Darul Ihsan Club Jeram
24. Fatimah Musa – Persatuan Kaum Ibu Selangor
25. Ahmad Mahdon Hassan – Persekutuan Bawean Selangor
26. Nordin Nawi – Persatuan Melayu Ulu Selangor
27. Lop Salleh Long – Persatuan Melayu Daerah Sabak Bernam
28. Dr. Burhanuddin Mohammad Noor – Parti Kebangsaan Melayu Semalaya
29. Abdul Rahim Ibrahim – Kesatuan Melayu Singapura

dipetik daripada laman web UMNO

Meskipun BN menang majoriti besar di Bagan Pinang, terbukti kepada seluruh Malaysia bahawa orang Islam di negara ini berpecah dan amatlah tidak dapat bersaing dengan sihat. Sedih…sedih. Apabila saya membaca akhbar Utusan Malaysia hari ini, terpampang di dada akhbar tersebut gambar seorang lelaki Islam berkopiah cuba memukul seorang lagi anak Muslim yang berlainan parti daripadanya. Mengikut cerita, anak muda yang cuba dipukul itu adalah antara orang yang disyaki polis sebagai orang yang memulakan tindakan agresif terhadap penyokong PAS setelah tidak tahan diejek oleh mereka (saya akan cuba dapatkan potongan gambar tersebut secepat mungkin untuk diupload ke laman ini).

Saya amat gembira apabila mendengar ada ura-ura bahawa PAS dan UMNO akan bergabung walaupun bukan dalam satu parti tetapi secara pakatan dan persefahaman demi kepentingan politik orang Islam dan Melayu. Namun, setiap kali wawasan itu dilaungkan pasti ada suara-suara sinis yang mengecam tindakan tersebut. Lebih malang lagi apabila berlakunya pilihan raya kecil antara PAS dan UMNO, pasti kedua-dua parti tersebut akan mula mengutuk lawan masing-masing yang seagama dan sekaum. Maka, wawasan tersebut tinggal angan-angan Mat Jenin sahaja.

Adakah umat Islam di negara ini tidak nampak akan kesan perpecahan antara kita. Mengapa begitu lancang mulut ahli politik sehingga sanggup mengenepikan kepentingan agama dan bangsa demi kepentingan peribadi dan parti yang amat jelas merugikan rakyat?

Baru-baru ini saya berada di Hawaii atas tujuan kerja. Di sana, saudara seagama kita terpaksa membeli rumah untuk dijadikan masjid dan pusat Islam. Mereka terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membeli tanah sekangkang kera untuk dijadikan tanah perkuburan Islam. Solat sunat Aidilfitri terpaksa diadakan di taman kerana ruang solat masjid sedia ada tidak mampu untuk menampung jumlah makmum. Mereka juga terpaksa memohon kepada House of Representatives Hawaii supaya dibenarkan diadakan satu hari yang dipanggil Islam Day untuk meraikan agama yang syumul ini. Itupun terdapat tentangan segelintir masyarakat bukan Islam di Hawaii. Namun, berkat doa dan kerja kuat mereka Allah SWT telah mengurniakan kepada mereka Islam Day pada 24 September 2009 – rujuk islamonline & foxnews. Congratulation to my dearest brothers and sisters. You guys should be proud of yourselves, and we Malaysian Muslims should follow your example.

Ingat, BERSEKUTU BERTAMBAH MUTU – BERSATU KITA TEGUH BERCERAI KITA ROBOH

video daripada Malaysiakini – mengapa ada benci antara kita?

Raya Puteh

Laman ini merupakan luahan pendapat penulis berkenaan isu-isu semasa negara. Semoga ia menjadi satu ruang perbincangan dan perdebatan sihat antara warga Malaysia

KEMPEN SATU SEKOLAH UNTUK SEMUA


KLIK GAMBAR UNTUK TANDATANGAN PETISYEN

Kalender

October 2009
M T W T F S S
« Aug    
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031