Meskipun BN menang majoriti besar di Bagan Pinang, terbukti kepada seluruh Malaysia bahawa orang Islam di negara ini berpecah dan amatlah tidak dapat bersaing dengan sihat. Sedih…sedih. Apabila saya membaca akhbar Utusan Malaysia hari ini, terpampang di dada akhbar tersebut gambar seorang lelaki Islam berkopiah cuba memukul seorang lagi anak Muslim yang berlainan parti daripadanya. Mengikut cerita, anak muda yang cuba dipukul itu adalah antara orang yang disyaki polis sebagai orang yang memulakan tindakan agresif terhadap penyokong PAS setelah tidak tahan diejek oleh mereka (saya akan cuba dapatkan potongan gambar tersebut secepat mungkin untuk diupload ke laman ini).

Saya amat gembira apabila mendengar ada ura-ura bahawa PAS dan UMNO akan bergabung walaupun bukan dalam satu parti tetapi secara pakatan dan persefahaman demi kepentingan politik orang Islam dan Melayu. Namun, setiap kali wawasan itu dilaungkan pasti ada suara-suara sinis yang mengecam tindakan tersebut. Lebih malang lagi apabila berlakunya pilihan raya kecil antara PAS dan UMNO, pasti kedua-dua parti tersebut akan mula mengutuk lawan masing-masing yang seagama dan sekaum. Maka, wawasan tersebut tinggal angan-angan Mat Jenin sahaja.

Adakah umat Islam di negara ini tidak nampak akan kesan perpecahan antara kita. Mengapa begitu lancang mulut ahli politik sehingga sanggup mengenepikan kepentingan agama dan bangsa demi kepentingan peribadi dan parti yang amat jelas merugikan rakyat?

Baru-baru ini saya berada di Hawaii atas tujuan kerja. Di sana, saudara seagama kita terpaksa membeli rumah untuk dijadikan masjid dan pusat Islam. Mereka terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membeli tanah sekangkang kera untuk dijadikan tanah perkuburan Islam. Solat sunat Aidilfitri terpaksa diadakan di taman kerana ruang solat masjid sedia ada tidak mampu untuk menampung jumlah makmum. Mereka juga terpaksa memohon kepada House of Representatives Hawaii supaya dibenarkan diadakan satu hari yang dipanggil Islam Day untuk meraikan agama yang syumul ini. Itupun terdapat tentangan segelintir masyarakat bukan Islam di Hawaii. Namun, berkat doa dan kerja kuat mereka Allah SWT telah mengurniakan kepada mereka Islam Day pada 24 September 2009 – rujuk islamonline & foxnews. Congratulation to my dearest brothers and sisters. You guys should be proud of yourselves, and we Malaysian Muslims should follow your example.

Ingat, BERSEKUTU BERTAMBAH MUTU – BERSATU KITA TEGUH BERCERAI KITA ROBOH

video daripada Malaysiakini – mengapa ada benci antara kita?