You are currently browsing the tag archive for the ‘PAS’ tag.

Meskipun BN menang majoriti besar di Bagan Pinang, terbukti kepada seluruh Malaysia bahawa orang Islam di negara ini berpecah dan amatlah tidak dapat bersaing dengan sihat. Sedih…sedih. Apabila saya membaca akhbar Utusan Malaysia hari ini, terpampang di dada akhbar tersebut gambar seorang lelaki Islam berkopiah cuba memukul seorang lagi anak Muslim yang berlainan parti daripadanya. Mengikut cerita, anak muda yang cuba dipukul itu adalah antara orang yang disyaki polis sebagai orang yang memulakan tindakan agresif terhadap penyokong PAS setelah tidak tahan diejek oleh mereka (saya akan cuba dapatkan potongan gambar tersebut secepat mungkin untuk diupload ke laman ini).

Saya amat gembira apabila mendengar ada ura-ura bahawa PAS dan UMNO akan bergabung walaupun bukan dalam satu parti tetapi secara pakatan dan persefahaman demi kepentingan politik orang Islam dan Melayu. Namun, setiap kali wawasan itu dilaungkan pasti ada suara-suara sinis yang mengecam tindakan tersebut. Lebih malang lagi apabila berlakunya pilihan raya kecil antara PAS dan UMNO, pasti kedua-dua parti tersebut akan mula mengutuk lawan masing-masing yang seagama dan sekaum. Maka, wawasan tersebut tinggal angan-angan Mat Jenin sahaja.

Adakah umat Islam di negara ini tidak nampak akan kesan perpecahan antara kita. Mengapa begitu lancang mulut ahli politik sehingga sanggup mengenepikan kepentingan agama dan bangsa demi kepentingan peribadi dan parti yang amat jelas merugikan rakyat?

Baru-baru ini saya berada di Hawaii atas tujuan kerja. Di sana, saudara seagama kita terpaksa membeli rumah untuk dijadikan masjid dan pusat Islam. Mereka terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membeli tanah sekangkang kera untuk dijadikan tanah perkuburan Islam. Solat sunat Aidilfitri terpaksa diadakan di taman kerana ruang solat masjid sedia ada tidak mampu untuk menampung jumlah makmum. Mereka juga terpaksa memohon kepada House of Representatives Hawaii supaya dibenarkan diadakan satu hari yang dipanggil Islam Day untuk meraikan agama yang syumul ini. Itupun terdapat tentangan segelintir masyarakat bukan Islam di Hawaii. Namun, berkat doa dan kerja kuat mereka Allah SWT telah mengurniakan kepada mereka Islam Day pada 24 September 2009 – rujuk islamonline & foxnews. Congratulation to my dearest brothers and sisters. You guys should be proud of yourselves, and we Malaysian Muslims should follow your example.

Ingat, BERSEKUTU BERTAMBAH MUTU – BERSATU KITA TEGUH BERCERAI KITA ROBOH

video daripada Malaysiakini – mengapa ada benci antara kita?

sumpah keramat Melayu (dahulu)Sumpah keramat orang Melayu dahulu semasa nak menubuhkan UMNO. UMNO bukanlah satu parti yang ditubuhkan oleh individu-individu tertentu untuk perjuangan sendiri. UMNO ditubuh oleh persatuan-persatuan Melayu dari seluruh Tanah Melayu. Persatuan-persatuan negeri, guru dan bermacam-macam lagi. Pertubuhan ini sangat dihormati dahulu. Disyari’atkan di Istana Besar Duli Tuanku Sultan Johor kerana pertubuhan ini diterima oleh Duli-Duli Tuanku.

Namun kini, ia makin tercemar dek perbuatan ahli-ahlinya. Tetapi orang Melayu yang lain juga sama ada lupa atau tidak pernah tahu akan sumpah keramat ini. Sepatutnya inilah amalan kita. Bangkitlah orang Melayu. Sedarlah siapa diri anda di tanah ini.

 

SUMPAH MELAYU

KAMI, umat Melayu beragama Islam pada hari ini berjanji tidak akan berhasad dengki, khianat dan iri hati, bertelagah dan berbalah sama sendiri. KAMI berjanji akan bersatu padu dan patuh menegakkan agama Islam. KAMI juga berjanji akan bekerja kuat untuk menyara diri dan keluarga kami.

KAMI sedia bersaing sesama umat Melayu dan kaum-kaum laindengan jujur dan terhormat.

KAMI umat Melayu bersumpah setia untuk :

  • Mempertahankan kepentingan dan hak Melayu;
  • Mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu;
  • Memperjuangkan ikhtisad dan pelajaran bangsa Melayu; dan
  • Mempertahankan maruah Negara supaya aman sejahtera.

Baru-baru ni ada sahabat berbisik kepada saya mengapa Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada mulanya keberatan hendak bermuzakarah (berbincang) dengan UMNO. Saya pelik juga kerana Tok Guru ni antara pemimpin Islam di negara ni yang boleh dipercayai. Kalau tidak takkanlah beliau dah lebih 18 tahun jadi Menteri Besar.

Pada mulanya Tok Guru sendiri setuju nak mengadakan muzakarah dengan pemimpin Melayu Islam mengenai kepentingan umat Islam pada masa kini dan hadapan (Utusan Malaysia – 16 Jun 2008) tetapi kemudiannya beliau agak keberatan. Mula meletakkan syarat, perlu ada pihak ketigalah dan sebagainya. Kemudian Presiden PAS, Tuan Guru Hj. Abdul Hadi pun setuju. Baru-baru ini sahaja Mursyidul Am PAS tersebut benar-benar menyatakan persetujuannya lantas memberi cadangan supaya PAS dan UMNO dibubarkan dan ditubuh sebuah parti politik Melayu yang benar-benar berteraskan Islam.

Pada pendapat saya PAS dan UMNO pun memang dah berteraskan Islam. Semua itu berkonsepkan jihad. Tetapi lama-kelamaan sebab orang-orang di dalamnya, mulalah masing-masing bawa haluan sendiri. Jangan lupa PAS dan UMNO pernah berada di bawah bumbung Perikatan, zaman Tun Abdul Razak dan Datuk Asri. Kemudian kedua-duanya berpecah pula. Tak kisah la apa sebabnya tetapi sayang sekali. Datuk Asri sendiri pernah jadi Menteri Pembangunan Luar Bandar. Sebab itu banyak markas PAS di tanah-tanah perancangan FELDA lama. Saya masih ingat tahun-tahun ketika amat kuat perpecahan umat Islam di negara ini sehinggakan ada orang mengkafirkan orang yang seagama dengannya. Berkawan dengan bukan Islam itu kafir kononnya. Tapi hari ini (mungkin sebab dah jadi liberal kot) tak pa pula berpelukan dengan bukan Islam.

Anyway, sekarang Tok Guru nampak sangat setuju dengan idea muzakarah ini walaupun minta tukar hanya jadi muqabalah (pertemuan). Macam saya sebut tadi, Tok Guru sendiri minta bubar kedua-dua parti dan wujudkan parti baru. Cuak orang-orang politik bukan Islam. Karpal Singh memang melatah la. Parti Bersatu Sabah pun gelabah juga. Kenapa Tok Guru berubah hati?

Saya dengar angin-angin kuat menyampaikan bahawa ‘orang kanan’ Tok Guru di Kelantan yang sampaikan maklumat tak tepat kepada Tok Guru. Itu yang beliau begitu berhati-hati dalam isu muzakarah ini. Kenapa pula ‘orang kanan’ ni sampai maklumat tak betul? Katanya dia ditawarkan jadi TPM bila seseorang itu berjaya jadi PM kelak. Orang yang nak jadi PM sangat ni yang didakwa cucuk ‘orang kanan’ ni supaya Tok Guru tak terima cadangan muzakarah ni. Mungkin Tok Guru dah nampak kebenarannya, itu yang beliau setuju.

Wallahu alam.

“Pas tidak patut dan tidak boleh dibiarkan berlari bersama arnab dan memburu bersama anjing pemburu bagi mengelaknya daripada dibaham anjing berkenaan,” …Karpal Singh

Siapa anjing yang dimaksudkan oleh Karpal Singh tu? Siapa arnab tu pulak? Makin kasar bahasa orang tua ni. Dulu panggei orang katak. Betui ka dia ni orang Malaysia? Rasanya orang Malaysia ni lemah lembut orangnya. Cakap pun berlapik. Ooo tu mungkin orang Melayu ja kot. Orang lain tak share the same value kot. Kesopanan dan Kesusilaan. Ntahlah.

Saya tengok Karpal ni memang tak suka kat PAS kot. Hari tu dia kritik kerajaan Negeri Kedah, Ustaz Dato’ Seri Azizan masa mula pegang kerajaan, kata tak pandai perintah la. Marah ustaz Azizan masa tu. La ni dia kata Ustaz Nasharuddin Setiausaha Agung pulak. Dia memang tak tau menau pasai PAS kot. Dia peduli ka pasai kita orang Islam, orang Melayu ni?

Tapi apa yang saya lihat kat sini, apa yang dia dok kata PAS jumpa UMNO ni satu muqablah perkauman pulak. Pasai apa? Yang GERAKAN dan DAP dok jumpa selalu tu OK pulak? HINDRAF dengan DAP tu tak pa pulak? Itu sebab bila Penang dah confirm diperintah oleh DAP (baca: bukan Pakatan Rakyat) Koh Tsu Koon dengan rasa bangganya serah kerajaan pada Lim Guan Eng. Itu sebab Tajol Rosli menangis malam keputusan pilihan raya diumumkan. Yang menang banyak DAP bukannya PAS. Mungkin dia risau Perak akan jadi lebih kurang ketika 14 hari Komunis memegang Malaya selepas Perang Dunia. Ramai orang muda tak tau benda ni. Sebab apa, tak minat sejarah, cikgu yang ajar pun nak lepas periksa saja. Bila kita buta sejarah, ini lah jadinya.

Secara ikhlas saya tidak bersetuju jika PAS dan UMNO bergabung. Nak buat apa? Mengarut ja. Lebih baik begini. Ada dua parti Islam. Jika UMNO mula menyimpang, PAS kena tegur. PAS menyimpang, UMNO patut tegur. Dengan syarat kedua-duanya faham apa itu ISLAM sebenarnya. Jika yang baik, perlu diambil. Janganlah bongkak sangat. Sombong! Sebab PAS yang kata, UMNO mula sebut kolot. Bila UMNO cakap, PAS kata thoghut (torut). Ini apa semua ni. Itu sebab Allahyarham Dr. Burhanuddin al-Helmi tak masuk UMNO padahal dia seorang nasionalis Melayu yang unggul. Sebab kena ada check and balance. Sekarang apa dah jadi?

Saya pelik la dengan politik Melayu ni, tadak wawasan. Berpolitik untuk hari ini sahaja. Tak nampak apa akan jadi sebulan akan datang. ish tak payah sebulan, esok pun tak tau lagu mana lagi. Semalam, saya baca Minnguan Malaysia, ada wawancara dengan Dr. Zainal Burhan, UM. Dia kata kita ni perlukan negarawan bukan ahli politik (Mingguan Malaysia). Mungkin sebab ramai sangat orang politik tu negara la ni mula kelam kabut. 

Raya Puteh

Laman ini merupakan luahan pendapat penulis berkenaan isu-isu semasa negara. Semoga ia menjadi satu ruang perbincangan dan perdebatan sihat antara warga Malaysia

KEMPEN SATU SEKOLAH UNTUK SEMUA


KLIK GAMBAR UNTUK TANDATANGAN PETISYEN

Kalender

July 2017
M T W T F S S
« Oct    
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31